Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam kelmarin, lelaki berumur 20 tahun yang bekerja sebagai tukang jahit dari Kampung Pangkal Changgong, Machang, Kelantan itu cedera di beberapa bahagian badan termasuk kepala apabila dipukul penduduk kampung.
Difahamkan, dalam kejadian di sebuah kampung di kawasan Jabi yang terletak beberapa kilometer dari Kampung Renek di sini, lelaki terbabit dibelasah ketika berada di dalam rumah sewa wanita itu.
Sebelum itu, kira-kira jam 10 malam, wanita itu dikatakan telah pergi menghantar suaminya yang berusia 23 tahun bermain futsal di sebuah gelanggang futsal di kawasan Jertih. Apabila pulang ke rumah, wanita itu dikatakan menghubungi buah hatinya dan mangsa datang ke rumah tersebut kerana telah membuat temu janji sebelum itu.
Difahamkan sejam kemudian, suami wanita itu menghubungi isterinya, namun tidak ada jawapan menyebabkan dia mengesyaki sesuatu lantas pulang ke rumah bersama rakannya untuk mengetahui apa yang berlaku.
Apabila tiba di rumah, dia dapati sebuah kereta Perodua Myvi berada di hadapan rumahnya sebelum dia mengintip melalui lubang rumah dan mendapati isterinya bersama seorang lelaki dalam keadaan kurang sopan.
Si suami kemudian masuk ke dalam rumah bersama penduduk kampung, menyebabkan berlaku pergelutan antara lelaki tersebut dan penduduk kampung.
Suami wanita itu yang bekerja sendiri kemudian menghubungi penguat kuasa syariah pejabat agama daerah sebelum pasangan itu diserahkan kepada pihak polis. Difahamkan pasangan suami isteri itu mempunyai seorang anak berusia setahun lebih, tetapi ketika kejadian anak mereka berada dalam jagaan ibu bapa wanita berkenaan di Kampung Guntung, Setiu.
Menurutnya sumber, mangsa mengaku ketika kejadian dia baru selesai mengadakan hubungan seks dengan wanita berkenaan dan mereka berkenalan sejak awal tahun lagi.
Lelaki itu juga mendakwa kononnya dia tidak tahu wanita itu berstatus isteri orang kerana wanita terbabit memberitahu dia belum bersuami menyebabkan dia menjalin hubungan dengan suri rumah itu.
Dikatakan juga, lelaki tersebut mengenali pasangannya selepas dia tersalah nombor telefon menyebabkan dia menghubungi wanita itu dan dari situ hubungan mereka terus mesra dan sudah beberapa kali bertemu di pekan Jertih sebelum ini.
Lelaki yang cedera di bahagian muka, kaki dan anggota badan itu dirawat di Hospital Besut sebelum dibenarkan keluar semalam namun ditahan semula oleh penguatkuasa pejabat agama daerah untuk diambil keterangan.
Pemangku Ketua Polis Daerah, DSP Noorzainy Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada suami wanita berkenaan dan tangkapan tersebut. Menurutnya, pasangan tersebut diserahkan kepada pejabat agama daerah untuk tindakan seterusnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan